i. Tujuan penulisan berita untuk menyampaikan sesuatu maklumat, peristiwa dan sebagainya untuk dijadikan pengetahuan.
ii. Gaya ataupun laras bahasa ini berbeza dan lebih bersifat laporan.
iii. Bahasanya mudah tetapi tegas dan padat.
iv. Isi - isi utama perlu didahulukan agar dapat memberi gambaran awal kepada pembaca.
v. Soalan - soalan seperti 'apa', 'di mana', 'mengapa', 'bagaimana', 'bila', dan 'siapa' dapat membantu mencari isi - isi dalam penulisan berita ini.
vi. Fakta - fakta mementingkan ketepatan seperti 'tarikh', 'masa', 'tempat'. 'nama - nama yang terlibat' dan sebagainya.
vii. Karangan jenis ini mempunyai format yang khusus.
CONTOH : RUMAH KEDAI TERBAKAR
SIMPANG RENGGAM, 12 Mac - Sebuah rumah kedai yang berhampiran Jalan Ismail hangus terbakar awal pagi tadi. Kerugian akibat kebakaran itu dianggarkan sebanyak RM 600 000 . 00.
Menurut salah seorang mangsa kebakaran, Puan Soh Chin Aun, kebakaran itu bermula pada kira - kira pukul 5.00 pagi. Dia menyedarinya apabila bangun untuk membancuh susu untuk anaknya. Lantas dia menjerit sekuat hati meminta tolong.
Seorang pegawai bomba, Encik Junid bin Bakyandi berkata, bahawa pihak bomba masih belum dapat memastikan punca sebenar kebakaran itu. Namun demikian, mereka tidak menolak kemungkinan kebakaran itu berpunca daripada litar pintas.
Seorang pemilik kedai yang terlibat, Encik Leong Kim Bah pula berkata, antara barang - barang yang musnah termasuklah alat - alat elektrik dan barang - barang kelengkapan rumah.
Menurutnya lagi, kesemua peralatan kedainya hangus dan mengalami kerugian besar. Buat sementara waktu, mereka akan tinggal di kedai lama milik mereka di Jalan Kuchai Lama.
Lima buah kereta bomba dari ibu pejabat bomba dengan dua puluh lima anggota bomba segera bergegas ke tempat kejadian apabila menerima panggilan daripada orang ramai. Setelah bertungkus - lumus selama kira - kira dua jam setengah memadamkan kebakaran, barulah api itu dapat dikawal.
CONTOH : SAMBUTAN HARI GURU
PARIT RAJA, Rabu - Sekolah Kebangsaan Pintas Raya telah menyambut Hari Guru secara besar - besaran. Ini merupakan kali kedua sekolah itu menyambut perayaan seperti ini.
Menurut Guru Besar, Encik Ismail Dolmahadi, sambutan itu bermula dari pagi hingga petang. Acara sambutan pada waktu pagi dimulakan dengan perhimpunan dan ucapan yang diadakan di tapak perhimpunan.
Seorang guru bertugas, Encik Nazar Ismail berkata bahawa sambutan seperti ini dapat diadakan kerana kerjasama yang erat daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta sokongan daripada guru - guru dan murid - murid. Pelbagai acara telah disusun dan diatur sempena perayaan ini. Antaranya ialah ucapan daripada Pegawai Pelajaran Daerah.
Pelajar - pelajar turut membuat persembahan seperti nyanyian, lakonan dan sebagainya. Ada juga guru - guru yang terlibat dalam acara persembahan tersebut. Yang jelasnya perayaan ini melibatkan seluruh masyarakat sekolah sama ada pelajar, guru mahupun kakitangan sekolah.
Sebenarnya perayaan ini banyak menimbulkan kesan yang positif. Ia boleh memupuk semangat bekerjasama, menanamkan budaya penyayang, toleransi, dan rasa hormat antara satu sama lain.
Perayaan ini berakhir lebih kurang pada pukul enam petang. Pihak sekolah berasa gembira kerana perayaan tersebut telah berjalan seperti yang dirancang, bahkan sambutan yang diberikan sangat menggalakkan dan meriah.
No comments:
Post a Comment