Social Icons

Saturday, 5 October 2013

Fakta

FAKTA



i. Karangan fakta berorientasikan pada isi - isi berdasarkan fakta yang benar, logik dan menepati kehendak soalan.

ii. Cara penyampaian mestilah ringkas serta menggunakan ayat dan frasa mudah difahami

iii. Karangan jenis ini tidak mempunyai format yang khusus

CONTOH   : FAEDAH KEGIATAN PERKHEMAHAN



Kegiatan kokurikulum memberi banyak faedah kepada para pelajar. Salah satu kegiatan kokurikulum ialah aktiviti perkhemahan.

Melalui kegiatan perkhemahan, pelajar - pelajar akan diajar untuk berdikari. Di sini mereka akan memasak, membasuh dan sebagainya secara sendiri. Kerja - kerja ini mendidik mereka untuk berdikari.

Disiplin turut dapat dibentuk melalui kegiatan perkhemahan. Aktiviti berkawat dapat mendisiplinkan diri pelajar. Arahan ketua akan dilakukan secara serentak membantu pembentukan disiplin ini.

Semangat bergotong -royong turut diwujudkan semasa perkhemahan. Semua ahli akan menolong antara satu sama lain. Malahan persefahaman turut terbentuk dalam diri pelajar - pelajar.

Sikap bertanggungjawab turut disemai dalam diri pelajar - pelajar. Semasa perkhemahan, para pelajar akan memastikan kawasan yang digunakan dibersih semula.

Sememangnya banyak faedah yang diperolehi melalui kegiatan perkhemahan. Pelajar dididik dengan banyak perkara melalui aktiviti - aktiviti yang dilaksanakan.



CONTOH   : CARA - CARA MENGHORMATI ORANG
YANG LEBIH TUA


Lazimnya, antara amalan dalam masyarakat kita ialah menghormati mereka yang lebih tua daripada kita. Banyak cara yang boleh kita lakukan untuk menghormati orang tua.

Pertama, kita boleh membantu mereka ketika membeli barang yang banyak. Kita boleh menolong mengangkat sebahagian daripada barangan tersebut. Mereka mungkin tidak mampu membawa barang yang banyak tanpa bantuan kita.

Sekiranya tempat duduk penuh dalam bas, kita boleh mempelawa orang yang lebih tua untuk duduk. Cara ini menunjukkan sikap hormat kita kepada mereka. Inilah amalan berbudi bahasa yang diseur oleh kerajaan.

Kita juga boleh memberikan ucapan selamat sebagai tanda hormat kita kepada orang tua. Malahan kita juga diajar cara berjalan dan bersopan di hadapan orang tua.

Apabila berbual dengan orang yang lebih tua, kita seharusnya tidak meninggikan suara. Dengan ini, mereka akan berasa dihormati. Sekiranya kita meninggikan suara, kita dianggap biadab dengan orang tua.

Begitulah cara - cara yang boleh kita lakukan untuk menghormati orang yang lebih tua. Amalan ini membantu kita untuk menunjukkan teladan yang baik di hadapan orang tua.

CONTOH   : FAEDAH MENGUMPUL SETEM



Setiap individu mempunyai hobi. Hobi atau kegemaran ini bergantung kepada minat seseorang. Hobi saya ialah mengumpul setem.

Dengan mengumpul setem kita dapat mengisi masa lapang. Melalui kegiatan seperti ini kita menghargai masa kerana "Masa itu emas"

Mengumpul setem juga banyak memberi pengetahuan kepada kita. Melalui setem kita boleh melihat dan mengetahui tentang mercu tanda atau pemimpin sesebuah negara itu.

Mengumpul setem juga membolehkan kita mendapatkan ramai kenalan. Ini adalah kerana kita akan berutus surat dan bertukar setem di antara rakan terutamanya jika kita menyertai kelab setem.

Hobi ini turut menjadikan kita lebih bertanggungjawab dan berdisiplin. Kita sentiasa cermat dan berwaspada ketika menyimpan setem kerana ia perlu diberi perhatian rapi.

Oleh itu, jelaslah banyak faedah yang boleh diperoleh dengan mengumpul setem. Seharusnya hobi ini digalakkan di kalangan pelajar - pelajar.

CONTOH   : FAEDAH PERPUSTAKAAN



Perpustakaan merupakan sumber rujukan ilmu pengetahuan. Setiap sekolah biasanya menyediakan kemudahan perpustakaan. Perpustakaan ialah gedung ilmu yang banyak.

Sewaktu berada di sekolah, di rumah atau pada masa lapang, kita boleh ke perpustakaan untuk belajar. Suasana yang selesa dan tenang di perpustakaan memudahkan kita untuk mengulang kaji pelajaran.

Perpustakaan merupakan tempat berbagai - bagai buku yang boleh dibaca untuk menambahkan pengetahuan. Di samping itu, kita boleh membuat rujukan untuk menyempurnakan kerja kursus.

Melalui buku - buku di perpustakaan juga, kita boleh mengetahui mengenai negara - negara luar. Melalui pembacaan atlas, ensiklopedia dan sebagainya boleh membantu kita mendapat pengalaman baru. Bahkan melalui pembacaan bahan - bahan tersebut, kita boleh mengetahui dengan lebih lanjut mengenai negara - negara luar.

Banyak juga bahan di perpustakaan dapat dijadikan sumber hiburan kita. Selepas penat mengulang kaji pelajaran, kita boleh meminjam bahan - bahan ringan seperti buku cerita dan sebagainya.

Penerangan di atas jelas menunjukkan faedah perpustakaan kepada kita. Tepatlah bahawa perpustakaan adalah sumber maklumat kepada kita.


CONTOH   : FAEDAH MEMBACA AKHBAR



Akhbar merupakan bahan bacaan yang paling berpengaruh di Malaysia. Ada akhbar yang berbahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil.

Banyak faedah yang boleh kita peroleh dengan membaca akhbar. Melalui pembacaan rencana - rencana yang diterbitkan di akhbar, ilmu pengetahuan kita akan bertambah.

Kita memperolehi pengalaman baru melalui pelbagai peristiwa dan kejadian di seluruh dunia. Kita boleh membaca tentang berita bencana, peperangan dan sebagainya. Semua peristiwa ini merupakan pengalaman baru bagi kita.

Akhbar juga boleh dijadikan sebagai alat hiburan. Melalui ruangan komik, kita dapat merehatkan otak kita. Ruangan seperti ini tidak memberatkan pemikiran kita.

Bagi mereka yang kurang asas agama, akhbar juga memainkan peranan untuk membimbing. Ruangan soal jawab agama, cerita - cerita nabi dan sebagainya dapat membantu.

Jelas, banyak faedah yang boleh kita peroleh dengan membaca akhbar. Jadikan akhbar sebagai teman yang akrab dengan kita.


CONTOH   : FAEDAH AIR



Tiga perempat daripada permukaan bumi diliputi air. Kita memperoleh air daripada hujan, sungai dan sebagainya. Air sangat penting untuk kehidupan kita.

Setiap manusia memerlukan air untuk menjalankan kehidupan seharian. Mereka memerlukan air untuk minum, memasak, membasuh, mandi dan sebagainya

Bagi petani, mereka memerlukan air untuk mengusahakan pertanian. Misalnya pesawah padi, mereka memerlukan air untuk menanam padi. Rancangan Pengairan Kuala Muda di Kedah adalah contoh betapa pentingnya air.

Kilang - kilang juga bergantung kepada sumber air. Keperluan air lebih mustahak bagi kilang - kilang yang mengeluarkan minuman. Pencucian botol memerlukan air.

Air juga diperlukan untuk menjana kuasa elektrik. Air memainkan peranan penting dalam membekalkan kuasa elektrik hidro. Contoh kuasa elektrik hidro yang menggunakan sumber air ialah Empangan Kenyir.

Faedah air sangat banyak kepada manusia. Jadi air sangat berguna kepada manusia dalam kehidupan seharian.

No comments:

Post a Comment

 photo tpatani.jpg  photo S10-1.jpg  photo kembarakawanrimba.jpg  photo tberukera-1.jpg  photo E-BUKU_S11_anjing-suka-menyalak_final-1.jpg  photo HTJ1t.jpg  photo barongan.jpg  photo baronga2.jpg Nak Baca Komik-komik ini??? Sila pergi ke bahagian Syurga Buku | Membaca Jambatan Ilmu |

Aplikasi Atas Talian

 

Sample text

Sample Text