Social Icons

Saturday, 5 October 2013

PERISTIWA SEBENAR

PERISTIWA SEBENAR


i. Karangan jenis ini seperti 'Berita' tetapi tiada format khusus dan lebih kepada bentuk cerita.

ii. Jenis ini menceritakan tentang peristiwa atau kejadian dan pelajar perlu menceritakan peristiwa tersebut.

iii. Karangan jenis ini perlu menjelaskan tempat berlaku, tarikh, masa, acara ataupun kegiatan yang diadakan dan sebagainya.


CONTOH   : PASAR RIA

Pada 14 Februari 2005, Sekolah Kebangsaan Cahlok Terap telah mengadakan pasar ria dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah.

Pada sebelah pagi majlis perasmian telah diadakan. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Pegawai Pelajaran Daerah. Beliau memuji inisiatif sekolah dalam menambah dana perbelanjaan sekolah. Melalui dana seperti ini, banyak perkara yang dapat dilakukan oleh pihak sekolah dalam memastikan kecemerlangan ilmu para pelajarnya.

Sepanjang hari itu, pelbagai aktiviti telah diadakan, manakala gerai pula banyak yang dibuka. Berbagai - bagai barangan makanan turut dijual di situ. Harganya pula sangat berpatutan.

Pada sebelah petang, acara sukaneka diadakan. Ramai pelajar dan ibu bapa yang mengambil bahagian dalam pelbagai acara yang diadakan. Peserta akan diberi hadiah. Hadiah - hadiah disampaikan oleh Yang Dipertua Pengerusi PIBG.

Pada sebelah malamnya pula, diadakan persembahan lagu - lagu 60-an. Ramai yang hadir untuk menyaksikan persembahan tersebut. Semua yang hadir berasa terhibur dengan persembahan yang telah dipersembahkan.

Semua pihak yang menjayakan hari pasar ria berasa gembira atas sambutan yang diberikan. Walaupun penat, mereka rasa terhibur.




CONTOH   : KEMALANGAN YANG NGERI

Petang itu, saya pulang dari sekolah agak lewat. Kebetulan pula Cikgu Amin mengadakan kelas bimbingan sebagai persediaan kepada pelajar - pelajar tahun enam yang akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah.

Saya menunggu di perhentian bas. Bas pula belum kunjung tiba. Kenderaan bertali arus di jalan raya. Saya melihat ada seorang budak lelaki hendak melintas jalan. Budak itu kelihatan terburu - buru.

Sedang budak itu melintas, tiba - tiba sebuah kereta meluncur laju lalu melanggarnya. Pemandu itu tidak sempat hendak membrek kenderaannya lalu melanggar budak lelaki tersebut. Kereta itu terbabas ke tepi parit di sebelah kiri jalan raya.

Saya menjadi panik seketika melihat kemalangan yang ngeri itu. Apabila keadaan tenang sedikit, saya segera menelefon ambulans dan polis di pondok telefon yang berhampiran.

Sesudah itu, saya segera ke tempat kejadian. Orang ramai sudah mula berkumpul di tempat kejadian. Saya melihat ada yang cuba menolong pemuda itu keluar dari kenderaannya. Budak lelaki itu pula terbaring di atas jalan raya dalam keadaan tidak sedarkan diri. Darah mengalir keluar daripada kepala budak tersebut.

Tidak lama kemudian, ambulans pun sampai. Mereka dengan segera membantu mangsa - mangsa kemalangan untuk dibawa ke hospital. Apabila bas tiba, saya pun pulang ke rumah.


CONTOH   : KEMPEN GALAKKAN MEMBACA


Pada 15 Jun 2004, Sekolah Kebangsaan Peserai telah melancarkan "Kempen Galakkan Membaca". Kempen tersebut telah dilancarkan oleh Tuan Guru Besar. Berbagai - bagai aktiviti telah diadakan sepanjang kempen tersebut.

Pada 16 Jun 2004, satu pertandingan melukis poster telah diadakan. Pertandingan itu bertemakan "Membaca Banyak Faedahnya" dan dibahagikan kepada tahap satu dan dua. Pelajar - pelajar tahap satu dikehendaki menggunakan media pencil warna dan rayon. Manakala tahap dua mesti menggunakan warna air.

Pertandingan Nilam ataupun banyak membaca turut diadakan. Pertandingan ini diadakan dalam tempoh masa tertentu. Pelajar yang paling banyak membaca akan menerima hadiah sebuah basikal yang merupakan sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru. Setakat ini, adik Haziyah merupakan pembaca yang paling banyak membaca buku.

Pihak perpustakaan sekolah turut memainkan peranan dalam kempen tersebut. Sepanjang kempen tersebut, perpustakaan dibuka pada setiap hari termasuk cuti hujung minggu. Tujuannya supaya menarik minat para pelajar agar lebih berminat untuk membaca buku.

Pada 23 Jun 2004, pertandingan bercerita telah diadakan. Para pelajar di minta bercerita daripada buku yang telah mereka baca. Dalam pertandingan tersebut, Rose Mary telah muncul sebagai johan.

Kempen ini sangat memberi kesan kepada para pelajar. Melalui kempen ini dapat menanam minat pelajar agar suka membaca.

No comments:

Post a Comment

 photo tpatani.jpg  photo S10-1.jpg  photo kembarakawanrimba.jpg  photo tberukera-1.jpg  photo E-BUKU_S11_anjing-suka-menyalak_final-1.jpg  photo HTJ1t.jpg  photo barongan.jpg  photo baronga2.jpg Nak Baca Komik-komik ini??? Sila pergi ke bahagian Syurga Buku | Membaca Jambatan Ilmu |

Aplikasi Atas Talian

 

Sample text

Sample Text