Social Icons

Saturday, 5 October 2013

Laporan

LAPORAN


i. Karangan ini bertujuan melaporkan sesuatu perkara ataupun peristiwa yang berlaku.

ii. Karangan jenis ini biasanya meminta anda melaporkan kegiatan persatuan, lawatan, pameran, pesta, Hari Penyampaian Hadiah, dan sebagainya.

iii. Untuk menulis karangan jenis ini, pastikan bahawa anda benar - benar mengetahui perkara ataupun peristiwa yang hendak dilaporkan itu.

iv. Laporan yang ditulis mestilah berdasarkan kenyataan yang benar - benar berlaku.

v. Karangan jenis ini ialah karangan yang berformat khusus.

CONTOH   : SUKAN TAHUNAN SEKOLAH


LAPORAN SUKAN TAHUNAN SEKOLAH

Pada 16 Disember 2004, Sekolah Kebangsaan Sri Petaling, telah mengadakan Sukan Tahunan kali ke 14. Kejohanan sukan itu berjalan dengan begitu lancar sekali.

Sebelum acara olahraga dimulakan, majlis perasmian telah diadakan. Semua peserta dari setiap rumah beratur mengikut rumah masing - masing. Mereka mengadakan acara perbarisan. Majlis perasmian pembukaan telah disempurnakan oleh Adun Kawasan Sri Petaling, Yang Berhormat Datuk Choon Soon Kiat.

Selepas itu, acara sukan bermula. Ada acara olahraga seperti acara lumba lari 100 meter, 200 meter, lompat jauh, lompat tinggi, dan melontar peluru. Untuk pelajar tahun sati, dua dan tiga diadakan acara sukaneka seperti meniup belon, lari dalam guni, lari bawa bola pingpong dan sebagainya.

Setiap pemenang mendapat hadiah masing - masing. Pemenang pertama mendapat pingat emas, manakala tempat kedua mendapat pingat perak, dan ketiga mendapat pingat gangsa. Hadiah - hadiah telah disampaikan oleh Yang Dipertua PIBG. Semua murid yang hadir bertepuk tangan tanda gembira.

Semasa acara penutup, olahragawan dan olahragawati sekolah telah diumumkan. Anugerah ini telah disandang oleh Hishamuddin dan Hezra Eryana. Manakala juara keseluruhan acara sukan tahunan ini telah dimenangi oleh Rumah Helang.

Lebih kurang pukul 6.00 petang acara sukan pun tamat. Murid - murid berasa begitu gembira.




Di sediakan oleh, 23 Disember 2004


Haslah Salleh

(HASLAH BIN SALLEH)
Setiausaha Sukan,
Sekolah Kebangsaan Sri Petaling.


CONTOH   : PERASMIAN BANGUNAN BARU
SEKOLAH


LAPORAN PERASMIAN BANGUNAN BARU SEKOLAH

Pada 16 Mei 2004 yang lalu, Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman I, telah mengadakan upacara perasmian bangunan baru. Ramai jemputan dan dif - dif kehormat telah hadir dalam majlis itu.

Pada pukul 9.00 pagi, ramai jemputan mula tiba. Pada jam 9.20 pagi, tetamu yang diraikan iaitu Menteri Pelajaran telah tiba. Ketibaannya disambut dengan paluan kompang dan bunga manggar yang berwarna - warni.

Pada pukul 9.35 pagi, majlis dimulakan dengan ucapan kata - kata aluan oleh Pengerusi Majlis. Selepas itu, ucapan perasmian telah disampaikan oleh Menteri Pelajaran. Dalam ucapannya, Yang Berbahagi Datuk Hishamuddin bin Tun Hussein, menegaskan bahawa dengan kemudahan yang selesa dapat meningkatkan lagi pencapaian kecemerlangan akademik sekolah. Para jemputan bertepuk tangan selepas Menteri Pelajaran menyampaikan ucapan dan merasmikan bangunan baru sekolah. Suasananya begitu gamat sekali.

Apabila jam menunjukkan pukul 11.00 pagi, para jemputan dijemput semula ke dewan untuk menyaksikan persembahan daripada murid - murid sekolah kami. Para jemputan nampaknya begitu terhibur menyaksikan tarian dan nyanyian murid - murid itu.

Tepat jam 12.00 tengah hari, upacara perasmian tersebut pun tamat. Menteri Pelajaran dan tetamu jemputan pun pulang. Warga sekolah begitu gembira dengan kejayaan majlis tersebut.



Disediakan oleh, 22 Jun 2004


Khairul Rostani

(KHAIRUL ROSTANI)
Ketua murid
Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman I
Kuala Terengganu.



CONTOH   : KEGIATAN TAHUNAN PERSATUAN


LAPORAN TAHUNAN PERSATUAN MATEMATIK

Guru Penasihat : Encik Khalid bin Sulong
Encik Adnan bin Jabi
Pengerusi : Fajar Riza binti Mohd. Ripin
Setiausaha : Azila binti Mokthar
Bendahari : Hasliza binti Ishak
Ahli Jawatankuasa : Azmi bin Alias
Devan A/L Aragena
Mariam binti Ahmad

Persatuan Matematik Sekolah Rendah Kelana Jaya (I) ditubuhkan pada tahun 1990. Persatuan ini dibentuk untuk meningkatkan tahap pencapaian pelajar dalam mata pelajaran Matematik.

Persatuan ini telah menjalankan beberapa kegiatan sepanjang tahun 2004. Kegiatan pertama, yang kami jalankan ialah "Pertandingan Menghafal Sifir". Sambutan yang diberikan sangat menggalakkan.

Selain itu, kami turut mengadakan gotong - royong membersihkan kawasan sekolah. Kami telah memperindahkan kawasan taman sekolah dengan menanam pokok - pokok bunga. Aktiviti ini dijalankan dengan usaha sama Persatuan Sains.

Pada cuti semesta satu persekolahan, kami telah mengadakan lawatan ke Taman Ular di Batu Pahat, Perlis. Sebagai hasil lawatan, kami banyak memperoleh pengetahuan tentang penyelidikan yang telah dijalankan.

Pada keseluruhan, kami berpuas hati dengan kegiatan - kegiatan yang kami jalankan. Kami berterima kasih kepada guru penasihat yang banyak membimbing kami.



Disediakan oleh, 22 Mac 2004


Rozila Rakimi
(ROZILA BTE RAKIMI)
Setiausaha Persatuan Matematik,
Sekolah Kebangsaan Kelana Jaya (1)



CONTOH   : PAMERAN SAINS DAN MATEMATIK


LAPORAN PAMERAN SAINS DAN MATEMATIK

Sekolah Kebangsaan Manjoi telah mengadakan Pameran Sains dan Matematik pada 27 Julai 2004, yang dianjurkan oleh Persatuan Sains dan Matematik.

Sebelum pameran itu dibuka kepada orang ramai, satu majlis perasmian telah diadakan. Encik Lok Ming Tong, selaku Guru Sumber Daerah, telah merasmikan majlis tersebut. Beliau menegaskan pameran seumpama itu akan mendedahkan kepentingan sains untuk negara.

Dalam pameran tersebut, selain pengunjung - pengunjung dapat melihat kecanggihan alat - alat teknologi, banyak permainan bercorak sains disediakan.

Bahkan beberapa pertandingan turut diadakan sempena pameran tersebut. Para pelajar mencuba kebolehan dalam pertandingan, sama ada pertandingan berbentuk permainan mahupun kuiz. Hadiah - hadiah menarik disediakan.

Sebuah komputer ditempatkan di sudut khas. Melaluinya banyak maklumat mengenai perkembangan Sains dan Matematik boleh diperolehi. Pelajar - pelajar mendapat banyak faedah di samping menambah pengetahuan mereka dalam mata pelajaran Sains.

Secara tidak langsung pameran tersebut telah menarik minat pelajar - pelajar kepada pelajaran Sains dan Matematik.


Disediakan oleh, 11 Ogos 2004


Sasha Farhan

(SASHA BTE FARHAN)
Setiausaha,
Persatuan Sains dan Matematik,
Sekolah Kebangsaan Manjoi.


No comments:

Post a Comment

 photo tpatani.jpg  photo S10-1.jpg  photo kembarakawanrimba.jpg  photo tberukera-1.jpg  photo E-BUKU_S11_anjing-suka-menyalak_final-1.jpg  photo HTJ1t.jpg  photo barongan.jpg  photo baronga2.jpg Nak Baca Komik-komik ini??? Sila pergi ke bahagian Syurga Buku | Membaca Jambatan Ilmu |

Aplikasi Atas Talian

 

Sample text

Sample Text