Social Icons

Saturday 5 October 2013

PERIBAHASA MUDAH

PERIBAHASA MUDAH

i. Karangan jenis ini ditulis berdasarkan maksud peribahasa.

ii. Karangan jenis ini boleh ditulis dalam bentuk cerita ataupun penerangan mengikut kehendak soalan.

iii. Sekiranya tiada arahan untuk menulis cerita ataupun penerangan, pelajar - pelajar lebih digalakkan menulis dalam bentuk cerita.

iv. Cerita mestilah dapat menjelaskan maksud peribahasa.

v. Karangan ini tidak mempunyai format khusus.


CONTOH   : SEDIKIT DEMI SEDIKIT LAMA - LAMA JADI BUKIT

"Sedikit demi sedikit, lama - lama jadi bukit", merupakan perumpamaan yang membawa maksud sesuatu pekerjaan yang dilakukan secara beransur - ansur tetapi berterusan pasti akan mendapat kejayaan juga akhirnya.

Apabila berpegang kepada peribahasa ini akan menyebabkan seseorang itu berusaha dengan lebih bersungguh - sungguh. Oleh itu, janganlah kita mudah putus asa apabila melakukan sesuatu pekerjaan seperti yang disarankan.

Seseorang pelajar yang gagal dalam pelajaran akhirnya akan berjaya jikalau mengamalkan mesej yang terkandung dalam peribahasa ini. Mereka akan terus berusaha tanpa berputus asa sehingga akhirnya mereka meraih kejayaan.

Dalam kehidupan pula, bagi seseorang yang berpegang kepada peribahasa ini akan berjaya dalam hidupnya. Melalui usaha yang beransur - ansur tetapi berterusan akhirnya akan meraih kejayaan.

Kita lihat ramai usahawan yang berjaya pada hari ini, sebenarnya bermula daripada bawah. Atas usaha yang sedikit tanpa mengenal putus asa, akhirnya mereka berjaya menempa nama sebagai usahawan yang berjaya.

Jadi jelas kepada kita, peribahasa ini benar - benar memberi dorongan kepada kita supaya berusaha  bersungguh - sungguh sehingga mencapai kejayaan.


CONTOH   : SESAT DI HUJUNG JALAN, BALIK KE PANGKAL JALAN

Muhammad Syazwi jarang mendengar nasihat orang tuanya. Dia selalu beranggapan apa yang dilakukannya adalah betul dan disukai masyarakat.

"Syazwi, kamu seharusnya mendengar nasihat ibu dan ayah! Perbuatan merosakkan harta benda awam itu salah di sisi undang - undang dan berdosa dari segi hukum agama," leter ayahnya pada suatu hari.

Muhammad Syazwi tetap tidak mengendahkan nasihat orang tuanya. Dia suka merosakkan harta benda awam seperti menconteng pondok bas, merosakkan telefon dan sebagainya.

Malang tidak berbau, begitulah nasib Muhammad Syazwi. Sedang dia asyik menyemburkan pewarna di dinding tandas awam, dia ditangkap oleh pengawal keselamatan. Muhammad Syazwi menyesali akan perbuatannya. Dia tahu sikap tidak mendengar nasihat telah merugikan dirinya sendiri.

Petang itu, ketika dibawa pulang dari balai polis, ibunya menasihati Muhammad Syazwi.

"Sudahlah Syazwi, ikutlah nasihat orang - orang tua, sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan. Yang buruk jadikan sempadan," kata ibunya dengan nada suara yang lembut.


CONTOH   : GENGGAM BARA PAI BIAR SAMPAI JADI ARANG

Di Bandar Cukai tinggal seorang budak yang bernama Ahmad Basri. Ayahnya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah bank dan ibunya ialah suri rumah. Dia merupakan anak tunggal dalam keluarganya.

Ahmad Basri bersekolah di Sekolah Rendah Sultan Ismail. Dia belajar dalam tahun enam. Apabila ujian bulanan diumumkan, Ahmad Basri adalah antara pelajar yang gagal dalam keputusannya. Dia berasa amat sedih dan menyesal.

Dia mula mengubah sikap untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah nanti. Ahmad Basri semakin rajin belajar dan bertanya. Dia tidak malu untuk bertanya kepada rakan - rakan dan guru - guru. Dia belajar tanpa mengenal erti jemu.

Akhirnya dia telah menduduki peperiksaan itu dengan hati yang tenang. Dia berasa gembira apabila keputusan peperiksaan diumumkan. Dia telah mendapat 5A dan ditawarkan belajar di Sekolah Berasrama Penuh.

Bagi Ahmad Basri setiap perkara kalau dilakukan bersungguh - sungguh pasti akan memperoleh kejayaan. Ahmad Basri berpegang teguh kepada peribahasa, 'Genggam bara api, biar sampai jadi arang".


CONTOH   : SEPERTI KACANG LUPAKAN KULIT

Pak Hamid dan isterinya bekerja sebagai penoreh getah. Mereka bekerja kuat untuk membesarkan anak kesayangan mereka yang bernama Azman. Walaupun kehidupan Pak Hamid susah, mereka suami isteri sanggup mengikat perut semata - mata untuk membiayai persekolahan anak mereka.

Azman mendapat menyambung pelajarannya hingga ke peringkat universiti. Setelah tamat pengajian, Azman memperolehi segulung ijazah. Dia mendapat tawaran bekerja di sebuah syarikat yang besar.

Kehidupan Azman semakin senang. Dia sudah memiliki sebuah rumah yang besar dan sebuah kereta yang mewah. Malahan Azman telah beristeri daripada keluarga yang mewah. Malangnya, Azman langsung tidak mempedulikan ibu dan bapanya di kampung.

Pada suatu hari, ibu bapa Azman berkunjung ke rumah Azman di bandar. Azman tidak melayani ibu bapanya dengan baik Malahan Azman telah mengherdik dan menghalau mereka dari rumahnya. Ibu bapanya sangat sedih dan kecewa dengan sikap Azman.

Azman bolehlah diumpamakan, "seperti kacang lupakan kulit", iaitu tidak tahu membalas jasa ibu bapanya. Bahkan dia melupakan segala pengorbanan ibu bapanya untuk dirinya.

No comments:

Post a Comment

 photo tpatani.jpg  photo S10-1.jpg  photo kembarakawanrimba.jpg  photo tberukera-1.jpg  photo E-BUKU_S11_anjing-suka-menyalak_final-1.jpg  photo HTJ1t.jpg  photo barongan.jpg  photo baronga2.jpg Nak Baca Komik-komik ini??? Sila pergi ke bahagian Syurga Buku | Membaca Jambatan Ilmu |

Aplikasi Atas Talian

 

Sample text

Sample Text